Monday 22 September 2014

ISU TANAH REZAB MELAYU PERLU DIBERI PERHATIAN SERIUS.

UMNO Pasir Salak mendesak semua kerajaan negeri supaya menggantikan kembali Tanah Rizab Melayu yang telah diambil untuk tujuan pembangunan dengan nilai setara dan di lokasi strategik untuk pembangunan orang Melayu.

Ketua bahagiannya, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, kemerosotan peratusan Tanah Rizab Melayu kini bertentangan dengan Wasiat Raja-Raja Melayu yang menetapkan sebanyak 50 peratus daripada tanah dalam negeri diperuntukkan untuk survival orang Melayu ketika pembentukan Perlembagaan Persekutuan 1957.

"Masalah sekarang ialah Tanah Rizab Melayu kini hanya tinggal 11 peratus, ini meletakkan orang Melayu tidak selamat kerana tanah adalah penting. Kalau tidak, macam mana hendak mendirikan rumah, kampung dan di mana hendak duduk?

"Atas keinsafan itu, kita meminta semua kerajaan negeri supaya mengkaji semula berapa tanah rizab yang telah diambil tetapi belum diganti untuk tujuan pembangunan.

"Kita mendesak supaya menggantikannya dengan nilai yang setara serta lokasinya juga hendaklah sesuai untuk orang Melayu memilikinya. Jangan ganti dengan tanah di dalam hutan, berpaya atau yang tidak berguna," tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Salak di sini hari ini.

Persidangan itu dirasmikan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Dalam pada itu, Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, masalah melibatkan pengurangan peratusan Tanah Rizab Melayu itu mungkin disebabkan oleh pihak kerajaan terlepas pandang.

Namun katanya, sekiranya tanah rizab tersebut sengaja digadai tanpa diganti, tindakan tegas mesti diambil terhadap pegawai-pegawai kerajaan yang tidak bertanggungjawab.

"Perlu ditegaskan juga bahawa banyak sebenarnya orang Melayu di luar bandar serta di bandar tidak memiliki tanah. Rakyat dahagakan kepada tanah," katanya.

0 comments:

Post a Comment